29 November 2016

Program Cuti Sekolah Untuk IBUBAPA....



Assalamu 'alaikum wrt. wbh.

Pasti ada sesuatu yang unik, baru dan menarik boleh anda pelajari tentang psikologi, perangai dan tingkahlaku anak-anak.

Tiada cuti dalam membesarkan anak-anak. Ia tugas sepanjang hayat.

Jom sertai kami dalam Bengkel Motivasi Keibubapaan pada 3 Disember 2016 ini di Bandar Seri Putra, Bangi.

Boleh tanya, boleh bincang dan boleh berkongsi apa sahaja hal-hal yang berkaitan pengalaman membesarkan anak.

"Anak saya kecil lagi, baru 6 bulan, boleh join ker?" Syarat untuk sertai bengkel ini ialah anda adalah seorang ibu atau ayah.

Klik di sini untuk daftar secara online atau hubungi kami terus di talian 03-89222934.

Bertindaklah hari ini. Sama-sama kita berusaha demi masa depan keluarga yang lebih bahagia, insyaallah.

Terima kasih.

17 November 2016

Program Terbaik Cuti Sekolah Hujung Tahun 2016



Belajar masa cuti sekolah?

Pasti anak anda tidak suka mendengarnya.

Tapi bagaimana kalau ‘BELAJAR 1 HARI SAHAJA’?
Pasti dia pelik, tapi suka mendengarnya.

Tahukah anda, cuti sekolah ini anak anda…
TIDAK PERLU PERGI KELAS TUISYEN dan
TIDAK PERLU BELAJAR BERJAM-JAM
untuk dapat kesan hebat apabila masuk sekolah tahun depan.


Dia hanya perlu cari 1 HARI EMAS (1 Golden Day) dalam masa cuti sekolah ini dan belajar pada masa itu. Daftar secara online.

1 HARI EMAS itu ada dalam cuti sekolah sahaja.
Ya, Betul! 1 HARI SAHAJA.
Lebih awal dia cari, lebih mudah dia jumpa 1 HARI EMAS itu.

Belajar hanya 1 HARI. Jadi, hari-hari lain masa cuti sekolah ini bolehlah dihabiskan untuk bermain, berehat, balik kampung, mandi sungai, kemas bilik, jalan-jalan, menonton tv, main video games dan macam-macam lagi. Pasti anak-anak anda seronok mendengarnya.

Menikmati cuti sekolah bukan perkara pelik atau sia-sia. Itu hak anak-anak kita selepas 11 bulan mereka memerah otak di sekolah.

Kami bukan ajar MAGIK, tapi kami ajar mereka TEKNIK!
Dengan teknik ini, cuti sekolah anak anda akan jadi lebih bermakna, terisi dan berfaedah.


Inilah rahsia dan keunikan Teknik Masa Belajar 4Flex.
Teknik ini amat baik, mudah dan berkesan untuk pelajar terutama yang bakal menduduki exam penting tahun depan. UPSR, PT3 & SPM. Daftar secara online.

Formulanya mudah. Apabila anak anda masuk darjah atau tingkatan baru tahun depan, dia akan berasa bangga, lebih yakin dan bersemangat apabila cikgu memujinya dan rakan-rakan kelas bertanya “Macam mana awak tahu? Pandainya awak! Awak tuisyen ker?” kerana hairan melihat bagaimana dia tahu dan faham topik-topik baru sedangkan cikgu belum lagi mengajar topik-topik tersebut di dalam kelas.

Dia tahu dan faham kerana dia belajar semasa cuti sekolah. Menariknya ialah belajar sendiri semasa cuti sekolah akan meningkatkan tahap pemahaman dua kali ganda. Tambah seronok lagi apabila dia belajar 1 hari sahaja.

Bagaimana ini boleh berlaku? Inilah rahsia cara belajar pelajar-pelajar genius yang patut anak anda tahu. Inilah rahsia masa yang disebut dalam Surah ke 103 dalam Al-Quran. Kita cari, kita jumpa, kita guna. Pasti besar faedahnya.
Teknik ini akan diajar secara intensif dan menyeronokkan oleh perunding berpengalaman kami, M. K. Fuad Hj. Che Ab. Razak (Che E). Beliau telah mengendalikan kursus motivasi kemahiran belajar untuk ribuan pelajar di seluruh negara termasuk pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains, Sekolah Menengah Agama (SMA), Sekolah Tahfiz dan sekolah-sekolah menengah harian. Beliau juga merupakan scorer SPM dan penerima Anugerah Tokoh Pelajar pada masa zaman persekolahannya. 
Jadi tunggu apa lagi? Inilah masanya. Jangan bazirkan masa cuti anak-anak kita. Berikan mereka suatu yang berbeza kali ini. Daftar secara online.

Pelajari tekniknya, cari 1 HARI EMAS itu dan gunakannya.
Buka sekolah nanti, BOOOM! lihatlah apa kesannya.
Anak anda pasti kagum dengan dirinya sendiri.

Sertai Bengkel Cuti Sekolah Yang Unik Ini 
untuk ketahui teknik belajar masa cuti yang mudah dan seronok.

Bengkel Jom Cari 1 Hari Itu!

Tarikh:
4 Disember 2016 (Ahad)

Masa:
9 Pagi – 5 Petang
(Jam 4.30 petang : Slot Penerangan Khas Untuk Ibubapa)

Tempat:
Studio Motivasi Asas Insan
Bandar Seri Putra, Bangi (Klik di sini untuk Peta Lokasi)

Yuran Penyertaan:
RM60 Seorang
RM55 Seorang (jika hadir bersama adik-beradik, sepupu & kawan sekolah)

Terbuka Untuk:
Pelajar 11 – 16 Tahun

Alat tulis, jamuan makan dan air mineral disediakan.
Hanya perlu bawa pakaian solat (telekung).
Solat Zuhur akan ditunaikan secara berjemaah.

Untuk lebih fokus, bengkel ini dibuka untuk 
30 orang peserta sahaja.
Jadi, daftar nama anak anda sekarang. Jangan lepaskan peluang ini.


Atau hubungi kami terus di talian 
03-89222934 atau 019-3468870
untuk daftarkan nama anak anda.

PERHATIAN
Sebelum mengisi borang penyertaan online, anda perlu membuat bayaran yuran penyertaan terlebih dahulu secara online transfer atau deposit tunai (CDM) ke akaun berikut:-

Maybank : 5647 99100 357
Atas nama ASASINSAN RESOURCES & TRAINING

Sila whatsapp bukti pembayaran ke talian 019-3468870 dengan segera. Kami akan sahkan pendaftaran anak anda melalui emel dan whatsapp dalam tempoh 24 jam.

Ini perlu bagi memastikan tempat untuk anak anda.
Usah bimbang kerana yuran yang dibayar akan dipulangkan 100% jika anda terpaksa membatalkan penyertaan. Hanya maklumkan kami selewat-lewatnya 1 hari sebelum tarikh bengkel.
Kami mengalu-alukan penyertaan anak anda dalam bengkel ini.
Kami mendoakan semoga bengkel ini dapat membantu mereka menjadi lebih seronok, bersemangat dan yakin memasuki semester baru persekolahan tahun hadapan.

Anda yang membesarkan dan menyayangi mereka, kami sekadar membantu dan menyokong. Semoga mereka membesar sebagai anak-anak soleh yang bermanfaat kepada ibubapa, keluarga dan masyarakat. Amiin.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi kami di talian 03-89222934.







Terima kasih.

16 November 2016

Adakah anda betul-betul kenal anak anda?


Assalamu 'alaikum wrt. wbh.

Tidak salah jika saya katakan ramai ibubapa yang teruja apabila anak mereka berjaya memasuki aliran sains. Terasa anak kita seperti hebat, bagus, cemerlang dan mempunyai masa depan yang cerah.

Dan tidak salah juga jika saya katakan betapa ramai 'anak-anak sains' ini yang separuh mati belajar semata-mata untuk memenuhi aspirasi ibubapa mereka. Sedangkan jika mereka diberi pilihan, mereka tidak berminat pun mengambil aliran sains. Baca artikel berkaitan : Anak Buka Rahsia Anda.

Kenapa apabila anak kita cemerlang dia mesti ambil aliran sains? Apa jadi dengan aliran-aliran yang lain? Adakah aliran-aliran lain tersebut 'aliran tiada masa depan'? Bukankah kita, masyarakat, bangsa dan negara memerlukan insan yang cemerlang dalam semua bidang? Hebatnya masa depan bukan bergantung kepada 'orang-orang sains' sahaja.


Ibubapa mesti mengubah cara berfikir. Budaya 'ikut orang lain' sudah tidak relevan hari ini. "Anak jiran ambil sains, anak aku juga mesti ambil sains". Sebenarnya kejahilan kita inilah yang membunuh potensi dan memudarkan masa depan anak kita, bukan aliran yang diambilnya.

Jika anak-anak diberi peluang untuk memasuki aliran yang mereka minati dan sesuai dengan personaliti mereka, mereka akan lebih seronok belajar dan mudah untuk cemerlang. Bukankah ini lebih baik untuk semua; anak, ibubapa, sekolah, masyarakat dan negara?

Bukan semua anak sesuai memasuki aliran sains. Itulah sebabnya bukan semua pelajar sains mampu mencapai keputusan cemerlang walaupun asalnya mereka adalah pelajar cemerlang.

Setiap anak ada potensi dan kecenderungan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk betul-betul mengenali dan memahami personaliti anak-anak mereka sebelum membuat keputusan aliran apakah yang patut mereka ambil.

Saya percaya di sekolah hari ini, anak-anak kita diwajibkan mengambil ujian psikometrik atau ujian personaliti. Ia berfungsi sebagai panduan kepada ibubapa, guru-guru dan para pelajar untuk memahami dan menilai kesesuaian seseorang pelajar dengan kursus atau aliran yang bakal dipilih khususnya sewaktu memasuki tingkatan satu, empat dan universiti. Namun sejauh mana ibubapa tahu dan memanfaatkan 'maklumat psikologi' ini.


Atas dasar itu, kami di Pusat Kaunseling & Motivasi Asas Insan menganjurkan Bengkel Motivasi Keibubapaan untuk membantu ibubapa dalam memahami personaliti anak-anak khususnya dalam kecenderungan mereka terhadap pelajaran dan bidang-bidang kerjaya di masa hadapan.

Kita tiada daya untuk menentukan masa hadapan tetapi Allah SWT memberi kita upaya untuk belajar, menganalisis, menilai dan merancang untuk kemaslahatan masa depan.

Jangan ketinggalan untuk sertai bengkel ini. Kami memberi jaminan bahawa pasti ada maklumat atau perkara yang bakal mengejutkan anda tentang anak-anak anda dalam bengkel ini nanti. Inilah masanya untuk anda bertanya, berbincang dan berkongsi pelbagai aspek tentang anak-anak anda. Semoga bengkel ini akan memberi anda lebih pencerahan dalam cara anda menilai anak-anak anda selepas ini. Amin.

Klik di sini untuk baca lanjut dan daftar secara online.

10 November 2016

Cara saya atasi gemuruh.

Tiba-tiba perut terasa kecut. Darah gemuruh pantas menyelinap dan terasa sejuk seluruh badan. “Apa aku nak cakap ni?” soal saya pada diri sendiri padahal semua persiapan telah saya buat. Jarang-jarang saya berperasaan sedemikian.

Minggu lepas dalam sebuah bilik persidangan di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, duduk berhadapan dengan saya ialah dua orang ilmuan bertaraf profesor, Prof. Dr. Ahamad Tajudin Khader dan Prof. Madya Dr. Putra Sumari. Sebelah kanan saya, Puan Norlia Mustaffa seorang pensyarah kanan berpengalaman. Di sekeliling saya, kiri dan kanan, ada ramai lagi ilmuan bertaraf serupa seperti tiga individu di atas. Saya dijemput untuk mengendalikan program Klinik Motivasi Peningkatan Kualiti Kerja. 

Satu lagi pengalaman yang hampir serupa sewaktu saya mengendalikan slot motivasi kerja dalam satu seminar yang dihadiri hampir 60 orang pakar dan pegawai perubatan. Kita panggil mereka doktor dan doktor pakar. Ada pakar jantung, pakar kanak-kanak, pakar bius, pakar psikiatri dan macam-macam kepakaran lagi dalam bidang perubatan. Di sini saya kenal Dr. Wan Mohd Razin Wan Hassan, Pakar Perubatan Dalaman yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Perasaan tidak keruan seperti ini pernah juga saya rasa sebelum bergelar perunding motivasi. Waktu temuduga pentauliahan peguam syarie, saya dikelilingi oleh 11 orang tokoh dan pakar dalam bidang agama dan perundangan syariah dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Saya masih ingat antara yang mengajukan persoalan untuk saya jawab ialah Sahibus Samahah Dr. Zulkifli Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan sekarang. Pada waktu itu beliau belum lagi bergelar mufti tetapi cukup terkenal sebagai seorang agamawan.

Kenapa saya kecut perut dalam tiga situasi di atas? Secara psikologinya apabila kita bertembung dengan situasi yang menggugat kebiasaan (conformity) dan wilayah selesa (comfort zone) kita, minda bawah sedar kita akan memberi tindak balas spontan bagi membolehkan diri kita menyesuaikan diri dengan situasi baru tersebut. Gemuruh adalah reaksi semula jadi dalam sistem tubuh badan kita.

Picu gemuruh terpetik kerana kita secara tanpa sedar telah meletakkan diri kita dalam realiti orang lain. Tiba-tiba merasa diri kita berbeza dan kerdil atas faktor realiti kepakaran yang dimiliki oleh khalayak yang kita depani. Justeru bagaimana saya menangani situasi ini?

Pertama saya cepat-cepat putarkan dalam minda “Aku adalah aku. Aku bukan mereka. Mereka bukan aku!” Jadilah diri anda sendiri. Tidak perlu sama sekali menjadi khalayak anda. Percayalah khalayak akan menghormati anda jika anda berjaya menampilkan diri anda yang tulen dan sebenar, bukan berpura-pura.

Tampilkan diri untuk dihormati bukan untuk dikagumi. Diri anda mesti ada kelebihan dan itulah sebabnya anda berdiri di hadapan mereka. Khalayak tidak tahu wibawa (credibility) diri anda sehinggalah anda memulakan bicara. Tegakkan postur badan, pandang mereka dan mulakan dengan yakin tanpa teragak-agak. Jika langkah pertama ini berjaya anda lakukan, darah gemuruh akan berlalu pergi dan pentas itu adalah milik anda.

Kedua, jangan sesekali merendahkan diri sendiri. Jika anda menjadi orang pertama yang merendahkan diri sendiri, maka tiada sebab untuk khalayak menghormati dan mempercayai anda. Tidak perlu perkenalkan kelemahan diri anda, khalayak tidak mahu mendengarnya.

Namun, ia bukan bermakna anda perlu membesar diri. Anda mestilah menjadi orang pertama yang merendah (tanpa ‘kan’) diri. Tunjukkan nilai tinggi yang ada pada diri anda iaitu sentiasa mengiktiraf, menghormati dan menghargai siapapun khalayak anda. Belajar perkara ini, hormatilah orang lain terlebih dahulu sebelum anda berhak dihormati.

07 November 2016

Politik Wajah Dalam Program Ilmu?

Assalamu ‘alaikum wrt. wbh.

“Tuan-tuan dan puan-puan hadir ceramah ini sebab tengok gambar saya atau tajuk ceramah dalam poster?” Tanya saya kepada hadirin dalam slot ceramah kekeluargaan sempena Progam Semarak Ilmu di MAMPU Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

Kedengaran suara majoriti menjawab serentak “Tajuk ceramah!”. Saya bertanya soalan ini sekadar ingin membuktikan kepada pegawai penyelaras program, seorang pegawai kanan wanita yang kelihatan cukup trampil dan dedikasi, bahawa dakwaan saya betul.

Sewaktu saya tiba di lokasi program, saya lihat poster promosi slot ceramah yang bakal saya kendalikan terpampang di beberapa sudut strategik termasuk di dalam lif. Poster tersebut bagi saya direka cukup menarik. Cuma satu perkara yang menggusarkan dan membuat saya berfikir ialah foto saya juga terselit dalam poster tersebut.

Saya faham mengapa promosi program sebegini mesti dibuat bergrafik, menarik dan membujuk (compelling). Ia majlis ilmu, perlu berfikir, menaakul dan membuat analisis kendiri, bukannya acara hiburan.

Jujur dan tegas saya katakan kepada pegawai wanita tersebut sewaktu kami mula-mula bertemu bahawa tiada perlunya foto saya diletakkan dalam poster tersebut. Ia tidak akan mempengaruhi jumlah kehadiran peserta. Tanpanya peserta tetap akan hadir.

 Saya mengangkat topik ini kerana melihat telah menjadi ikutan masa kini promosi program ilmiah perlu menggunakan politik wajah persis pilihanraya. Khalayak dipengaruhi minda tingkahlakunya melalui grafik wajah individu dan bukan pengisian (substance) programnya. Hebahan kuliah di papan kenyataan di sesetengah masjid juga ‘semak’ dengan foto-foto pengkuliah. Ada yang popular dan ada juga yang rasa macam popular. Kadang-kadang lebih foto dari tajuk.

Manusia adalah makhluk visual. Tingkahlaku kita memang mudah dipengaruhi melalui kesan visual. Mari kita uji. Bayangkan anda baru sahaja masuk ke bilik hotel dan mendapati di atas meja ada nota tertulis ‘Bilik Ini Seram’. Apakah yang anda akan lakukan? Dan cuba bayangkan pula jika bukan nota yang diletakkan tapi foto seram berambut panjang dengan sedikit catatan ‘Ada Dalam Bilik Ini’. Yang mana satu membuatkan anda lebih cepat untuk minta bertukar ke bilik lain?

Dalam kempen pilihanraya, foto calon-calon yang bertanding akan terpampang di merata tempat. Tujuannya untuk memperkenalkan calon parti masing-masing kepada rakyat yang bakal mengundi.


Namun dalam politik, biar tampan wajah calon yang dipampang dalam poster, akhirnya rakyat akan memilih calon atau tokoh yang ada substance bukan berwajah segak tapi cakapnya kosong. Jadi kepada calon-calon pilihanraya jangan marah jika ada poster wajah kalian yang dikoyak, diconteng, didialogkan dan diedit bertanduk bertaring. Kenali rakyat sebelum anda mahu dikenali.

Berbeza pula halnya dengan rokok. Kesan visual nampaknya seperti kurang menjadi untuk menurunkan nafsu perokok. Grafik ngeri yang dicetak pada kotak rokok seolah-olah menambah selera para perokok. Kesan ketagih mengatasi kesan visual.

Tetapi tidak pasti apa kesannya jika ditulis pada kotak rokok ‘Ini Mungkin Kotak Terakhir Anda, Peluk Eratlah Mereka Yang Tersayang Dan Wasiatkanlah Rokok Yang Terakhir Kepada Anak Kesayangan Anda.’ Gantikan grafik penyakit dengan grafik jenazah berkafan putih dalam liang lahad. Hendak seribu daya tak hendak macam-macamlah alasan kita beri.

Berbalik kepada promosi program ilmiah berfoto, saya berpandangan kita jangan tersilap dalam membentuk minda dan persepsi masyarakat. Biarlah ilmu yang menjadi penarik bukan individu. Kita elak bibit-bibit budaya pengidolaan atau dalam istilah yang agak keras ‘pemberhalaan’. Semak kamus dan lihat kata asal idola.

Mungkin inilah hikmahnya Islam melarang memvisualkan figura para Nabi. Mengelak pemberhalaan. Tanpa visual atau foto para Nabi khususnya Nabi Muhammad SAW, Islam tetap sampai kepada kita walaupun terjarak lebih 1,400 tahun daripada baginda. Lihat apa yang terjadi kepada agama Kristian. Graham E. Fuller dalam bukunya A World Without Islam menulis bahawa orang Islam sering menegaskan bahawa kerja-kerja seni yang mempersenda para Nabi termasuk Jesus (Nabi Isa AS) adalah berdosa. Bahkan menurutnya lagi orang Yahudi dan Islam tidak boleh menerima apabila orang Kristian memvisualkan Jesus dalam bermacam rupa.

Biarlah orang ramai berbondong-bondong masuk ke dewan orang ramai, masjid, stadium, auditorium atau padang kerana terhidu wanginya ilmu yang bakal ditimba dan mengangkat darjat diri, bukan kerana terpesona ingin melihat kelibat-kelibat fatamorgana, yang kalau bernasib baik dapatlah disalam atau diselfie tapi yang pasti tidak boleh dibawa balik.

Pesan saya kepada penyampai-penyampai ilmu dalam apa jua bidang di luar sana, jauhi perasaan suka dipuja dan suka diberhalai. Takut-takut kalian memperdaya bukan mendaya.

Terima kasih kerana membaca. Allah sahajalah yang Maha Tahu.

Che E

01 November 2016

Berniaga sejak tadika?

Seorang bapa muda bertanya semasa sesi soal jawab dalam Forum Kekeluargaan sempena Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) di Kuala Selangor pada 23 Oktober lepas, soalnya “berapakah usia paling awal untuk melatih anak berniaga?”.

Tiada jawapan spesifik untuk soalan ini. Jika anak anda mahu berniaga sedangkan dia masih di tadika, apa salahnya. Saya secara peribadi melibatkan anak-anak saya dalam aktiviti perniagaan saya sejak mereka bayi lagi. Tidur, mandi, bermain, melukis, solat, buat kerja sekolah, ulangkaji dan macam-macam lagi di tempat saya berniaga.


Tetapi sebelum itu perlu diingat perniagaan dan duit tidak boleh dipisahkan. Oleh sebab itu penting untuk terlebih dahulu membentuk perspektif yang betul tentang duit dalam minda anak anda sebelum melatihnya ‘berniaga’. Pendekatan ini juga baik bagi ibubapa yang bekerja makan gaji.

Apa anak anda fikir tentang duit? Aiskrim, mainan, ‘jajan’, kantin, tabung, hari raya, habiskan, sedekah, simpan atau cari?

Anak kecil tidak mengerti tentang nilai duit dengan sendirinya. Ibubapalah yang membentuk pandangan anak terhadap duit. Simpan atau belajakan.

Bermula dari kecil didiklah anak anda untuk melihat duit sebagai perkara yang bernilai, perlu usaha untuk mendapatnya dan mesti disimpan untuk dapat lebih banyak. “Money is not taught in schools.” Tulis Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad.

Perkenalkan tabung kepadanya seawal mungkin. Balik dari pejabat, semua duit syiling dalam poket anda serah padanya dan asuh dia untuk masukkan semua ke dalam tabung. Lakukan setiap hari seawal usianya satu tahun.

Begitu juga di masjid. Jika anda hanya masukkan duit syiling ke dalam tabung masjid, maka anak-anak akan ‘memahami’ bahawa nilai duit dalam bersedekah biarlah yang sedikit. Justeru berhati-hati dengan tindakan anda agar anda tidak tersilap dalam mendidik anak.

Mengizinkan anak membeli benda-benda remeh seperti makanan ringan, permainan dan ‘tikam-tikam’ sebenarnya anda menanam dalam sistem fikirnya bahawa duit tidak bernilai. Apatah lagi jika ia sedikit, seringgit atau duit syiling.

Memburukkan lagi keadaan apabila anak-anak melihat ibubapa sendiri sewenang-wenangnya berbelanja untuk perkara-perkara yang kurang berfaedah. Tak perlulah saya senaraikan perkara-perkara tak berfaedah tersebut di sini. Faham-fahamlah sendiri.

Natijahnya, anak-anak sukar menghargai duit dan akan berbelanja acapkali memiliki duit biarpun sedikit. Mereka sukar menyimpan. Tabiat menyimpan hanya mudah diasuh jika seseorang menghargai nilai duit.

Ada graduan yang baru mula bekerja kelabu mata melihat duit gaji yang banyak. Wah! banyaknya duit aku. Mereka bandingkan duit belanja saraan ibubapa semasa di kolej dengan duit gaji yang diterima, memanglah banyak bezanya. Mereka berbelanja semahu-mahunya. Maka tidak hairanlah mengapa PTPTN berhadapan kesukaran untuk mengutip hutang mereka.

Jika anda seorang peniaga, adalah penting untuk ‘melibatkan’ anak anda sejak dia kecil dalam perniagaan anda. Melibatkan di sini bermaksud membiarkan anak anda melihat betapa mendapatkan duit memerlukan usaha dan kesungguhan. Bukan hanya dengan tekan-tekan nombor di mesin ATM atau meleretkan kad-kad kredit.

Kelebihan ibubapa yang berniaga berbanding mereka yang makan gaji ialah anak-anak boleh nampak dengan jelas ‘usaha dan kesungguhan’ atau susah payah mereka dalam mendapatkan duit. Lantas lebih mudah untuk asuh mereka menghargai nilai duit.

Lihat sahaja anak-anak peniaga pasar malam yang duduk sama di gerai ibubapa mereka. Adakah pandangan mereka tentang ‘usaha mencari duit’ sama dengan anak-anak yang tidak pernah langsung nampak bagaimana keadaan ibubapanya berkerja di pejabat. Yang dilihat lebih mudah difahami berbanding yang hanya didengar.

Namun begitu, dengan melihat anda berniaga sahaja tidak menjadikan anak-anak anda menghargai nilai duit dengan sendirinya. Anda tetap perlu mengasuhnya.

Budaya dan gaya hidup hari ini lebih banyak mengajar anak-anak kita untuk berbelanja berbanding mendapatkan dan menyimpan duit. Lihat sahaja di sekolah. Ada kantin, kedai koperasi dan penjaja luar pagar. Kadang-kadang ada juga guru yang berniaga. Seringgit sudah tiada nilai.

Tidak salah untuk berbelanja. Tetapi asuh anak anda untuk berbelanja kepada perkara-perkara yang signifikan, bernilai dan perlu. Ajar mereka tentang beza keperluan dan kehendak.

Si A: ada RM1, belanja untuk keperluan = baki RM0.20 (boleh, mudah, cepat kaya)
Si B: ada RM1, belanja untuk kehendak = habis (tidak, lambat atau susah kaya)

Tidak salah berbelanja untuk anak-anak untuk nafkah dan sebagai tanda kasih sayang. Cuma perlu diingat tabiat berbelanja anda boleh menghantar mesej salah kepada anak-anak tentang duit. Duit dan anak anda adalah pilihan anda, saya sekadar berpandangan.

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a’lam.

Che E

Anak berjaya kerana ayah percaya


Assalamu 'alaikum wrt wbh.

PERCAYALAH anak-anak anda akan berjaya. Bukan secepatnya tetapi semestinya.

Kenapa ibubapa begitu ghairah dengan A yang dicapai oleh anak-anak di sekolah? Kerana kita suka kepada kejayaan yang cepat. Ini jugalah puncanya ramai ibubapa yang gelisah apabila melihat anak orang lain yang berusia 5 tahun sudah pandai membaca sedang anak sendiri ABC pun masih tak kenal.

Lebih gusar lagi apabila di sekolah anak kita 'didudukkan' di kelas belakang lantaran dia dipercayai oleh guru sebagai 'kurang cerdik'. Seolah-olah masa depannya suram.

Kalau semua orang percaya bahawa dia seorang yang gagal, maka jangan hairan dan jangan marah jika dia berjaya membuktikan kegagalannya kelak.

Kenapa anda memilih untuk berfikir dan percaya bahawa anak anda adalah seorang yang suram masa depannya? Siapa yang paksa anda untuk percaya sedemikian? Apa susahnya untuk percaya bahawa dia adalah anak yang berjaya?

Setiap anak dilahirkan dengan pakej potensi yang luar biasa. Sedikit yang jelas kelihatan dan yang banyak adalah tersembunyi. Dia sendiri tidak tahu apa potensi dirinya. Dia perlukan orang lain untuk membantu dirinya membongkar potensi dirinya yang tersembunyi.

Ramai ibubapa tidak tahu pun cara untuk menggilap potensi anak-anak tetapi cukup cepat dan cekap untuk melabel anak sendiri sebagai bermasalah, kurang cerdik, lembap dan tiada masa depan.

Siapakah orang terbaik yang sepatutnya membantu anak kita dalam hal ini. Sudah pastilah kita sebagai ibubapanya. Masalahnya anak-anak tidak dilahirkan berserta manual panduan membesarkannya yang boleh dibaca saat dia dilahirkan.

Justeru itu, membesarkan anak-anak menjadi manusia berguna adalah amanah berat yang dipikul oleh setiap ibubapa. Cari jalan untuk benar-benar mengenali setiap anak kita sebelum kita menyuramkan masa depannya dengan mempercayai bahawa dia anak tidak berguna.

Kepercayaan anda meningkatkan estim diri anak-anak anda.

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a'lam.

Che E

26 October 2016

Kalau anda dibuang kerja...

Kasihan Encik Ahmad. Dia baru sahaja dibuang kerja dengan notis 24 jam. Isterinya suri rumah dan dua orang anaknya belajar di sekolah rendah. Seorang lagi anak masih menyusu. Setiap bulan harus bayar ansuran pinjaman kereta, sewa rumah dan hutang peribadi. Simpanan di bank cuma ada RM2,500.





Saya uji 23 orang kakitangan MARA dengan situasi di atas dalam Bengkel Booster Efikasi Diri yang dianjurkan oleh Institut Latihan Kecemerlangan Mara (ILKM) minggu lepas di Nibong Tebal.

Jika anda, apa mungkin nasihat terbaik yang boleh anda berikan kepada Encik Ahmad untuk meleraikan kebuntuannya?

Satu perkara yang saya tertarik dalam pembentangan yang dibuat oleh para peserta dalam bengkel tersebut ialah mereka menasihatkan Encik Ahmad untuk kurangkan kos.

Bagi saya ia adalah langkah awal terbaik yang patut dibuat oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan situasi seperti di atas. Bahkan kita semua patut buat perkara sama dalam keadaan ekonomi bergelora seperti hari ini. Hari ini surat khabar dihiasi berita minyak masak habis stok di kedai-kedai. Itu petanda jelas ombak harga minyak masak akan naik. Bahaya kepada bot-bot kecil.

Cuma saya sedikit terkilan kerana para peserta tidak dapat ‘membumi’ atau ‘merakyat’ dalam memperincikan apakah yang boleh dibuat untuk mengurangkan kos. Antara cadangan yang ada ialah jual kereta dan beli motorsikal. Secara logik memanglah guna motorsikal lebih murah tetapi sejauh mana langkah itu mudah dan praktikal untuk dibuat dalam situasi terdesak seperti yang dialami oleh Encik Ahmad.

Di bawah ini saya senaraikan 17 perkara yang jika anda lakukan, anda akan kekal normal, sihat dan waras. Yang akan berkurangan hanyalah kos bulanan isi rumah anda. Dalam keadaan sumber kewangan keluarga yang genting, saya yakin ini dapat meningkatkan kebahagiaan keluarga anda.

1.  Henti langgan tv berbayar - Jimat RM100 sebulan
2.  Henti rokok - Jimat RM120 sebulan (RM12 x 10 kotak)
3.  Henti sarapan di kedai - Jimat RM75 sebulan (RM3 x 25 hari x 1 orang)
4.  Henti makan t/hari di kedai - Jimat RM125 sebulan (RM5 x 25 hari x 1 orang)
5.  Henti beli surat khabar - Jimat RM36 sebulan (RM1.20 x 30 hari)
6.  Jimatkan air - Jimat RM5 sebulan
7.  Jimatkan eletrik - Jimat RM5 sebulan
8.  Jimatkan telefon - Jimat RM5 sebulan
9.  Jimatkan petrol - Jimat RM10 sebulan
10.  Jimatkan tol - Jimat RM10 sebulan
11.  Anak sekolah bawa air kosong - Jimat RM25 sebulan (RM1 x 25 hari x 1 orang)
12.  Anak henti beli jajan di sekolah - Jimat RM12.50 sebulan (RM0.50 x 25 hari x 1 orang)
13.  Guna lampin bayi jenama murah - Jimat RM20 sebulan (RM10 x 2 pek x 1 orang)
14.  Tukar makanan kucing dgn sisa ikan - Jimat RM10 sebulan
15.  Kitar semula beg plastik - Jimat RM5 sebulan
16.  Tukar shower foam dengan sabun - Jimat RM5 sebulan
17.  Cuci kereta sendiri - Jimat RM15 sebulan

Jumlah penjimatan sebulan : RM583.50
Jumlah penjimatan setahun : RM7,002.00

Tepuk dada tanya selera. Jika ikutkan selera, pasti sukar untuk anda lakukan perkara di atas. Tapi jika anda gunakan kebijaksanaan menilai keutamaan, ia pasti mudah dibuat, praktikal dan besar manfaatnya.

Keluarga anda adalah tanggungjawab anda. Jangan takut berkreativiti dalam mengurus keluarga anda. Memang betul anda hilang pekerjaan tapi masih belum hilang akal fikiran. Seluas cawan atau sebentang lautan, isipadu minda anda adalah pilihan anda.

Terima kasih kerana membaca. Semoga bermanfaat.

Wallahu a'lam

Che E

21 October 2016

Jelajah Generasi Idaman Selangor 2016


Assalamu 'alaikum & salam ceria.

Jadual kosong hujung minggu ini? Jom ajak anak-anak beriadah minda, jiwa dan fizikal di Jelajah Generasi Idaman Selangor 2016 @ Kuala Selangor. Ada macam-macam aktiviti menarik dan bermanfaat.

Insyaallah Che E juga akan berkongsi tip dan panduan bermanfaat untuk para ibubapa sebagai salah seorang panel dalam forum keibubapaan Bicara Anak Cemerlang pada 23 Oktober 2016 bertempat di Stadium Utama Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Jangan lepaskan peluang ini. Anak-anak pasti seronok berdampingan dengan ibu ayah dalam aktiviti yang merapatkan seperti ini. Jom ramai-ramai.