21 November 2015

Didiklah anak kita menjadi rahmat kepada orang lain.

Lain sungguh perasaan dapat berprogram dalam masjid yang sudah berusia lebih 100 tahun. Ruangnya kecil, ukir hiasannya biasa-biasa sahaja, tiada kubah gah dan tiada dewan besar. Tapi semangat di dalamnya besar. Inilah yang penting dalam sebuah masjid. Semangat, jiwa dan ruh. Tanpa ruh, jiwa dan semangat, masjid hanyalah bangunan rumah ibadat.

Masjid perlu berbeza dari rumah-rumah ibadat yang lain. Dikunjungi hanya kala hati terasa ingin ketemu Tuhan. Dalam Islam, Tuhan bukan di masjid. Kita ke masjid bukan ketemu Tuhan walapun ia disebut ‘baitullah’ (rumah Allah).

Jadi untuk apa kita ke masjid kalau bukan untuk bertemu Tuhan?

Kita mendengar dan menjawab seruan Tuhan. Allah SWT suka kita melakukan amal baik dan mulia. Ke masjid bermakna kita melakukan amalan mulia. Beriktikaf, berzikir, beribadah, berjemaah, bermusyawarah, berkongsi pengalaman, bertadabbur, belajar, berjaringan dan macam-macam ‘ber’ lagi. Selagi mana ia amal soleh, lakukannya dan Allah SWT suka. Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan melakukan amal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Jelas Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 12.

Baru-baru ini team AsasInsan dijemput untuk mengendalikan Seminar Keibubapaan Al-Amin di Masjid Dato Dagang, Kampong Jawa, Klang. Meriah, bersemangat dan berinspirasi.

Walaupun kurang dari dua minggu promosi untuk seminar tersebut, pihak AJK masjid berjaya menggamit penyertaan luar jangka. Walaupun had dan sasaran peserta ialah 50 orang, pada hari program hampir 70 orang hadir dan menerima sijil penyertaan dengan jayanya.

Satu yang menarik dalam seminar tersebut ialah hadirnya golongan ‘ibubapa kepada ibubapa’. Dalam bahasa mudah kelompok ‘Datuk dan Nenek’. Mereka sama teruja bahkan lebih lagi dalam menelaah dan berkongsi ilmu dan skil keibubapaan yang dikongsikan.

Tugas membesarkan seorang anak bukan setakat usianya mencecah 18 atau 21 tahun atau sebelum dia berkahwin. Selagi mana dia bergelar anak, maka dia perlu ‘dididik’. Bukankah kita biasa dengar orang berkata ‘menuntut ilmu dari dalam buaian sehingga ke liang lahad’. Maka begitu jugalah tugas ibubapa mendidik anak.

Kita tidak bersekolah untuk belajar ilmu dan kemahiran keibubapaan. Tiada sijil atau kelulusan. Rata-rata apabila ditanya akan menjawab bahawa ilmu itu ‘datang dengan sendiri’ atau turun-temurun. Lebih dramatik lagi ada yang berkata tidak perlu belajar ilmu ini sebab nanti pandai-pandailah sendiri.

Anak kita hari ini lahir, membesar dan membina perspektif dalam zaman yang berbeza dengan kita. Cabarannya juga berbeza. Justeru itu, sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, sebelum kita boleh menjadi bijak, mahir dan layak mendidik anak, kita perlu terlebih dahulu ‘belajar’ bagaimana untuk menjadi ibubapa yang kompeten. Membaca, hadiri kursus dan kuliah dan berkongsi pengalaman.

Dalam seminar ini, Trainer kami En. M. K. Fuad Hj. Che Ab. Razak atau Che E telah berkongsi pengalaman, tip dan panduan dalam mengenali, berinteraksi dengan berkesan dan membimbing anak-anak bermula dari usianya dalam kandungan sehinggalah dewasa.

Antara intipati terpenting dari diskusi bersama Che E, ibubapa memikul amanah untuk membesar setiap anak sebagai Rahmatan Lil A’lamin. Rasulullah SAW telah terpisah masa dengan kita hari ini lebih 1,400 tahun. Maka, umat Islam hari ini adalah pemegang amanah untuk menyampaikan Rahmat baginda Rasulullah SAW kepada sekalian alam melalui sikap, perilaku, budaya dan cara hidup umat Islam yang mulia, memuliakan dan dimuliakan. Rahmat baginda kepada sekalian alam bukan setakat usia baginda di dunia sahaja tetapi sehingga akhir zaman.

Ambil contoh di negara kita, kesilapan dan kealpaan ramai ibubapa dalam mendidik anak-anak hari ini, memperlihatkan betapa segelintir umat Islam (Melayu) hari ini bukan lagi rahmat tetapi bala, ancaman dan kerugian kepada masyarakat dan negara. Siapa mendahului dalam statistik jenayah, kemiskinan, penyalahgunaan dadah dan rasuah dalam negara kita? Di mana Rahmat kita sebagai umat Muhammad SAW? Biar anak kita tiada sebutir A pun dalam keputusan peperiksaannya tetapi dia membesar sebagai rahmat kepada dunia kerana sebutir sampah pun dia tidak pernah buang ke luar jendela.

Pada peringkat awal seminar, kaunselor kami Cr. Nurhazreen Hj. Mohd Nor telah berkongsi pengalaman daripada pelbagai kes kaunseling yang dikendalikan di Pusat Kaunseling Keluarga AsasInsan yang mendedahkan betapa rapuhnya ilmu dan skil ramai ibubapa hari ini dalam memahami siapa anak mereka yang sebenarnya. Kes-kes yang dikongsikan diharap mampu menjadi teladan dan pengajaran berguna kepada para peserta.

Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada Masjid Dato Dagang dan para peserta yang telah menjayakan Seminar Keibuapaan Al Amin pada 14 November 2015 yang lalu. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati segala usaha ikhlas setiap orang yang menjayakan dan menyertai seminar tersebut. Amin.

Wallahu A’lam.