30 April 2016

Kenapa ramai terlelap semasa khutbah jumaat?

Tersengguk-sengguk, lentok sehingga ke lantai, tersandar, ternganga dan macam-macam lagi gaya lena dalam masjid. Khususnya sewaktu khatib di atas mimbar.

Kadang-kadang orang lain sudah mengangkat takbiiratul ihram, masih ada lagi yang ‘khusyuk’ tertunduk. Terpaksalah digosok belakangnya, diurut tengkuk, dijentik telinga atau dicuit paha. Tidak pasti samada para khatib perasan atau tidak gelagat jemaah jumaat di bawah.

Cuba anda pilih sebab-sebab terlena semasa khutbah jumaat seperti yang saya senaraikan di bawah:-

1. Waktu tengahari
2. Suhu masjid
3. Keadaan saf
4. Perut lapar
5. Tempoh khutbah

Mana satu faktor utama? Saya yakin ramai yang kurang setuju dengan faktor-faktor yang saya senaraikan di atas. Jadi apa faktor utama yang menjadikan anda terlena semasa khutbah jumaat?

PERHATIAN! Ya itulah faktor yang utama. Perhatian anda terhadap khutbah jumaat terlalu sedikit atau langsung tiada semasa khatib menyampaikannya.

Sedangkan pada hari-hari lain, waktu tengahari anda boleh sahaja memberikan perhatian terhadap perkara yang anda lakukan. Bekerja, mengajar, makan, memandu, berniaga, menonton, memasak dan sebagainya.

Jadi, mengapa waktu tengahari pada hari jumaat, anda sukar memberi perhatian kepada khutbah yang disampaikan? Sedangkan rata-rata masjid hari ini menggunakan sistem suara (sound system) yang canggih dan persembahan visual melalui layar putih yang besar.

Ternyata sound system, projector, sejadah panjang, kipas gergasi, aircond dan mimbar berukir tidak mampu menarik perhatian jemaah terhadap khutbah jumaat. Hanya satu yang boleh melakukannya, khatib!

Khatiblah orang yang bertanggungjawab penuh terhadap khutbah jumaat. Bukan sekadar menyediakan isi khutbah dan menyampaikan, tetapi juga menarik perhatian para jemaah agar mendengar dengan serius dan penuh penghayatan.

Rasa mengantuk pada waktu tengahari adalah fitrah biologi manusia, bahkan juga haiwan. Ia satu daripada circadian rhythm dalam tubuh manusia. Maka, jika khatib tidak berusaha untuk menarik perhatian, maka rasa mengantuk tersebut akan menguasai jemaah dan akhirnya mereka akan terlena.

Pasti ada rahsia mengapa Allah SWT mensyariatkan khutbah jumaat pada waktu tengahari, bukannya waktu pagi atau malam jumaat.

Memaksa jemaah untuk dengar sahaja apa yang disampaikan adalah satu ketidakadilan. Mereka telah tunaikan tanggungjawab dengan hadir ke masjid dan senyap tatkala khatib di atas mimbar.

Sekadar membaca teks khutbah dengan intonasi suara senada (monotonous) atau ada juga yang terjerit-jerit tidak kena tempat, pada waktu tengahari ‘buta’ amatlah sukar untuk menarik perhatian jemaah.

Justeru tidak hairan mengapa jemaah kanak-kanak dilihat sering membuat bising sewaktu khutbah. Bahkan sekolah-sekolah agama yang bersebelah dengan masjid juga gagal ‘mendiamkan’ anak-anak didik mereka sewaktu khutbah jumaat.

Saya sendiri pernah melihat bagaimana seorang khatib selebriti seolah-olah hilang punca sewaktu menyampaikan khutbah kerana suara jemaah kanak-kanak bersembang di tingkat dua masjid jauh lebih riuh, kuat dan ‘menarik’ perhatian jemaah. Ternyata khatib tidak mampu ‘menguasai dan mengawal’ jemaah kanak-kanak tersebut padahal beliaulah yang paling tinggi dan berkuasa pada waktu itu.

Tiada apa yang menarik bagi mereka dalam khutbah. Bercerita dengan kawan jauh lebih menarik. Bahkan, jemaah tua juga ramai yang memilih untuk berborak. Di luar masjid sambil merokok, menjamah pisang free atau minum susu soya sejuk.

Jika jemaah berborak, buat bising, belek handphone, tidur atau lepak di luar masjid kerana khutbah jumaat membosankan, adakah jemaah sahaja yang ‘berdosa’? Khatib bagaimana?

Ini cabaran dakwah bagi para khatib. Mereka tidak boleh lagi complacent sewaktu memanjat tangga mimbar. Cabaran mimbar sangat besar pada hari ini.

Tingginya mimbar hari ini kian hilang maknanya kerana yang ramai di bawah hanya tertunduk dan tiada minat lagi mendongak. Tambah-tambah lagi, mereka lebih banyak ‘belajar’ dari apa yang dibaca di tapak tangan daripada mendengar apa yang datang dari atas mimbar.

Para khatib perlu sedar, setiap kali khutbah jumaat disampaikan, ada para solehiin, ahli agama, ilmuan, profesional, muallaf, OKU, penjenayah, pemabuk, fasiqiin, penzina, kanak-kanak, wanita, orang tua, murtaddiin, non-muslim dan ramai lagi yang mendengar. Mereka semua berhak mendapat manfaat daripada khutbah yang didengar.

Dalam tulisan akan datang, saya akan kongsikan tip-tip yang boleh para khatib praktiskan sewaktu menyampaikan khutbah jumaat. Insya Allah.