22 September 2016

Ayah Sayang Sangat

Sedang saya sibuk menyiapkan bahan PowerPoint untuk Bengkel BaitiJannati di USM Pulau Pinang baru-baru ini, saya sempat menguji anak bongsu saya yang berusia 5 tahun lebih dengan gambar ini.


Saya: Cuba Hamzah tengok gambar ni. Apa dia buat?

Dia berhenti melukis dan terus meluru ke meja kerja saya. Dia senyum dan ambil masa untuk menjawab.

Hamzah: Emm.. dia sayang anak dia.

Saya: Oooh… lagi?

Hamzah: Dia suka anak dia.

Saya: Emm.. lagi?

Hamzah: Eemm.. ayah dia tak marah anak dia.

Saya: Oh ok… lagi?

Dia terus senyum dan berfikir.

Hamzah: Eemm… anak dia pun sayang ayah dia.

Saya: Oh ye ker. Ayah buat tak macam ni kat Hamzah?

Hamzah: Buat. Eh! Hari ini belum lagi…

Kami ketawa dan terus berpelukan. Selepas itu dia menyambung semula aktiviti melukisnya sedang saya pula terkedu seketika. Berfikir.

Kenapa dia langsung tidak menyebut perkataan ‘PELUK’ sedangkan itulah yang jelas KELIHATAN dalam gambar tersebut?

Rupa-rupanya anak kecil melihat sekelilingnya dengan pandangan MATA HATI. Sebaliknya kita orang dewasa kerap melihat sesuatu dengan MATA KASAR.

Minda bawah sedarnya menafsirkan PELUKAN dalam gambar itu sebagai KASIH SAYANG mungkin kerana sejak dari dia bayi lagi saya memberinya kasih sayang (pelukan) setiap hari. Saya amat-amat bersyukur.

Saya cuba bayangkan apa mungkin jawapan dia kalau saya jarang-jarang memeluknya atau langsung tidak pernah memeluknya.

Ternyata sentuhan dan pelukan menghidupkan emosi segar yang menyuburkan rasa kasih dan sayang. Peluklah insan-insan yang kita sayangi.

Wallahu a’lam.


Che E