26 October 2016

Kalau anda dibuang kerja...

Kasihan Encik Ahmad. Dia baru sahaja dibuang kerja dengan notis 24 jam. Isterinya suri rumah dan dua orang anaknya belajar di sekolah rendah. Seorang lagi anak masih menyusu. Setiap bulan harus bayar ansuran pinjaman kereta, sewa rumah dan hutang peribadi. Simpanan di bank cuma ada RM2,500.





Saya uji 23 orang kakitangan MARA dengan situasi di atas dalam Bengkel Booster Efikasi Diri yang dianjurkan oleh Institut Latihan Kecemerlangan Mara (ILKM) minggu lepas di Nibong Tebal.

Jika anda, apa mungkin nasihat terbaik yang boleh anda berikan kepada Encik Ahmad untuk meleraikan kebuntuannya?

Satu perkara yang saya tertarik dalam pembentangan yang dibuat oleh para peserta dalam bengkel tersebut ialah mereka menasihatkan Encik Ahmad untuk kurangkan kos.

Bagi saya ia adalah langkah awal terbaik yang patut dibuat oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan situasi seperti di atas. Bahkan kita semua patut buat perkara sama dalam keadaan ekonomi bergelora seperti hari ini. Hari ini surat khabar dihiasi berita minyak masak habis stok di kedai-kedai. Itu petanda jelas ombak harga minyak masak akan naik. Bahaya kepada bot-bot kecil.

Cuma saya sedikit terkilan kerana para peserta tidak dapat ‘membumi’ atau ‘merakyat’ dalam memperincikan apakah yang boleh dibuat untuk mengurangkan kos. Antara cadangan yang ada ialah jual kereta dan beli motorsikal. Secara logik memanglah guna motorsikal lebih murah tetapi sejauh mana langkah itu mudah dan praktikal untuk dibuat dalam situasi terdesak seperti yang dialami oleh Encik Ahmad.

Di bawah ini saya senaraikan 17 perkara yang jika anda lakukan, anda akan kekal normal, sihat dan waras. Yang akan berkurangan hanyalah kos bulanan isi rumah anda. Dalam keadaan sumber kewangan keluarga yang genting, saya yakin ini dapat meningkatkan kebahagiaan keluarga anda.

1.  Henti langgan tv berbayar - Jimat RM100 sebulan
2.  Henti rokok - Jimat RM120 sebulan (RM12 x 10 kotak)
3.  Henti sarapan di kedai - Jimat RM75 sebulan (RM3 x 25 hari x 1 orang)
4.  Henti makan t/hari di kedai - Jimat RM125 sebulan (RM5 x 25 hari x 1 orang)
5.  Henti beli surat khabar - Jimat RM36 sebulan (RM1.20 x 30 hari)
6.  Jimatkan air - Jimat RM5 sebulan
7.  Jimatkan eletrik - Jimat RM5 sebulan
8.  Jimatkan telefon - Jimat RM5 sebulan
9.  Jimatkan petrol - Jimat RM10 sebulan
10.  Jimatkan tol - Jimat RM10 sebulan
11.  Anak sekolah bawa air kosong - Jimat RM25 sebulan (RM1 x 25 hari x 1 orang)
12.  Anak henti beli jajan di sekolah - Jimat RM12.50 sebulan (RM0.50 x 25 hari x 1 orang)
13.  Guna lampin bayi jenama murah - Jimat RM20 sebulan (RM10 x 2 pek x 1 orang)
14.  Tukar makanan kucing dgn sisa ikan - Jimat RM10 sebulan
15.  Kitar semula beg plastik - Jimat RM5 sebulan
16.  Tukar shower foam dengan sabun - Jimat RM5 sebulan
17.  Cuci kereta sendiri - Jimat RM15 sebulan

Jumlah penjimatan sebulan : RM583.50
Jumlah penjimatan setahun : RM7,002.00

Tepuk dada tanya selera. Jika ikutkan selera, pasti sukar untuk anda lakukan perkara di atas. Tapi jika anda gunakan kebijaksanaan menilai keutamaan, ia pasti mudah dibuat, praktikal dan besar manfaatnya.

Keluarga anda adalah tanggungjawab anda. Jangan takut berkreativiti dalam mengurus keluarga anda. Memang betul anda hilang pekerjaan tapi masih belum hilang akal fikiran. Seluas cawan atau sebentang lautan, isipadu minda anda adalah pilihan anda.

Terima kasih kerana membaca. Semoga bermanfaat.

Wallahu a'lam

Che E