12 October 2016

Kenapa ibu ayah kena 'gulung lidah'?

Lepaskan, ampunkan dan redhai mereka.

Itulah saranan ikhlas saya kepada ibu ayah yang hadir menyokong usaha anak-anak mereka di Majlis Solat Hajat SMK Seksyen 5 Wangsa Maju minggu lepas.

Ampunkan mereka. Jika diangkat hijab saya yakin kita boleh melihat tubuh anak-anak kita akan bercahaya lantaran ampunan yang kita berikan.

Mereka akan berasa tenang. Dada mereka akan berasa lapang. Mudah untuk mereka berjuang dalam peperiksaan penting yang diduduki.

 Padat dengan pelajar, ibubapa dan guru-guru pada malam itu. Dalam kepadatan itu, serentak anak-anak ini bangun tanpa lengah, tanpa ragu, tanpa fikir apabila saya bertanya “Siapa mahu ibu ayahnya ampunkan dosa-dosanya, sila bangun!”

Mereka bangun secara sub-conscious. Mereka memang sentiasa mengharap dan perlukan ampunan daripada ibu ayah. Tambahan pada saat-saat genting menghadapi peperiksaan.

Dalam kerisauan kita memikirkan persediaan anak-anak menghadapi peperiksaan, kadang-kadang ada gelagat mereka yang mencuit sabar kita.

Lidah kita laju bagai petir untuk marah, bebel, herdik atau ancam mereka. “Kalau Along malas macam ni, tak tahulah Along nak jadi apa besar nanti.” Kita mengalahkan Malaikat.

Dalam ceramah malam itu, saya pesan kepada ibu ayah ‘gulunglah lidah’, tahan sikit perasaan amarah kita.

Kita boleh ‘buang’ mereka kalau mereka gagal esok. Sebab kita mungkin ada lagi anak-anak lain yang kita rasa boleh penuhi harapan kita. Tapi si gagal yang ‘dibuang’ itu tiada lagi ibu dan ayah yang lain. Dia hanya ada kita sebagai ibu dan ayahnya.

Ibu-ibu, ayah-ayah. Esok apabila keputusan keluar, iringi anak-anak kita pergi mengambil keputusan. Pamerkan wajah ceria. Saat betul-betul sebelum dia mengambil dan memegang slip keputusannya, pegang kepalanya dan bisik ke telinganya, “Along… buka jer keputusan tu dan usah risau sebab apa pun keputusannya, Along tetap anak ayah dan ibu. Ayah dan ibu sayang Along.”

Ampunkanlah mereka. Ya Allah, permudahkan segala urusan anak-anak kami dan kurniakanlah mereka kesudahan yang sempurna dan baik. Amiin

Terima kasih


Che E