16 November 2016

Adakah anda betul-betul kenal anak anda?


Assalamu 'alaikum wrt. wbh.

Tidak salah jika saya katakan ramai ibubapa yang teruja apabila anak mereka berjaya memasuki aliran sains. Terasa anak kita seperti hebat, bagus, cemerlang dan mempunyai masa depan yang cerah.

Dan tidak salah juga jika saya katakan betapa ramai 'anak-anak sains' ini yang separuh mati belajar semata-mata untuk memenuhi aspirasi ibubapa mereka. Sedangkan jika mereka diberi pilihan, mereka tidak berminat pun mengambil aliran sains. Baca artikel berkaitan : Anak Buka Rahsia Anda.

Kenapa apabila anak kita cemerlang dia mesti ambil aliran sains? Apa jadi dengan aliran-aliran yang lain? Adakah aliran-aliran lain tersebut 'aliran tiada masa depan'? Bukankah kita, masyarakat, bangsa dan negara memerlukan insan yang cemerlang dalam semua bidang? Hebatnya masa depan bukan bergantung kepada 'orang-orang sains' sahaja.


Ibubapa mesti mengubah cara berfikir. Budaya 'ikut orang lain' sudah tidak relevan hari ini. "Anak jiran ambil sains, anak aku juga mesti ambil sains". Sebenarnya kejahilan kita inilah yang membunuh potensi dan memudarkan masa depan anak kita, bukan aliran yang diambilnya.

Jika anak-anak diberi peluang untuk memasuki aliran yang mereka minati dan sesuai dengan personaliti mereka, mereka akan lebih seronok belajar dan mudah untuk cemerlang. Bukankah ini lebih baik untuk semua; anak, ibubapa, sekolah, masyarakat dan negara?

Bukan semua anak sesuai memasuki aliran sains. Itulah sebabnya bukan semua pelajar sains mampu mencapai keputusan cemerlang walaupun asalnya mereka adalah pelajar cemerlang.

Setiap anak ada potensi dan kecenderungan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk betul-betul mengenali dan memahami personaliti anak-anak mereka sebelum membuat keputusan aliran apakah yang patut mereka ambil.

Saya percaya di sekolah hari ini, anak-anak kita diwajibkan mengambil ujian psikometrik atau ujian personaliti. Ia berfungsi sebagai panduan kepada ibubapa, guru-guru dan para pelajar untuk memahami dan menilai kesesuaian seseorang pelajar dengan kursus atau aliran yang bakal dipilih khususnya sewaktu memasuki tingkatan satu, empat dan universiti. Namun sejauh mana ibubapa tahu dan memanfaatkan 'maklumat psikologi' ini.


Atas dasar itu, kami di Pusat Kaunseling & Motivasi Asas Insan menganjurkan Bengkel Motivasi Keibubapaan untuk membantu ibubapa dalam memahami personaliti anak-anak khususnya dalam kecenderungan mereka terhadap pelajaran dan bidang-bidang kerjaya di masa hadapan.

Kita tiada daya untuk menentukan masa hadapan tetapi Allah SWT memberi kita upaya untuk belajar, menganalisis, menilai dan merancang untuk kemaslahatan masa depan.

Jangan ketinggalan untuk sertai bengkel ini. Kami memberi jaminan bahawa pasti ada maklumat atau perkara yang bakal mengejutkan anda tentang anak-anak anda dalam bengkel ini nanti. Inilah masanya untuk anda bertanya, berbincang dan berkongsi pelbagai aspek tentang anak-anak anda. Semoga bengkel ini akan memberi anda lebih pencerahan dalam cara anda menilai anak-anak anda selepas ini. Amin.

Klik di sini untuk baca lanjut dan daftar secara online.