01 November 2016

Anak berjaya kerana ayah percaya


Assalamu 'alaikum wrt wbh.

PERCAYALAH anak-anak anda akan berjaya. Bukan secepatnya tetapi semestinya.

Kenapa ibubapa begitu ghairah dengan A yang dicapai oleh anak-anak di sekolah? Kerana kita suka kepada kejayaan yang cepat. Ini jugalah puncanya ramai ibubapa yang gelisah apabila melihat anak orang lain yang berusia 5 tahun sudah pandai membaca sedang anak sendiri ABC pun masih tak kenal.

Lebih gusar lagi apabila di sekolah anak kita 'didudukkan' di kelas belakang lantaran dia dipercayai oleh guru sebagai 'kurang cerdik'. Seolah-olah masa depannya suram.

Kalau semua orang percaya bahawa dia seorang yang gagal, maka jangan hairan dan jangan marah jika dia berjaya membuktikan kegagalannya kelak.

Kenapa anda memilih untuk berfikir dan percaya bahawa anak anda adalah seorang yang suram masa depannya? Siapa yang paksa anda untuk percaya sedemikian? Apa susahnya untuk percaya bahawa dia adalah anak yang berjaya?

Setiap anak dilahirkan dengan pakej potensi yang luar biasa. Sedikit yang jelas kelihatan dan yang banyak adalah tersembunyi. Dia sendiri tidak tahu apa potensi dirinya. Dia perlukan orang lain untuk membantu dirinya membongkar potensi dirinya yang tersembunyi.

Ramai ibubapa tidak tahu pun cara untuk menggilap potensi anak-anak tetapi cukup cepat dan cekap untuk melabel anak sendiri sebagai bermasalah, kurang cerdik, lembap dan tiada masa depan.

Siapakah orang terbaik yang sepatutnya membantu anak kita dalam hal ini. Sudah pastilah kita sebagai ibubapanya. Masalahnya anak-anak tidak dilahirkan berserta manual panduan membesarkannya yang boleh dibaca saat dia dilahirkan.

Justeru itu, membesarkan anak-anak menjadi manusia berguna adalah amanah berat yang dipikul oleh setiap ibubapa. Cari jalan untuk benar-benar mengenali setiap anak kita sebelum kita menyuramkan masa depannya dengan mempercayai bahawa dia anak tidak berguna.

Kepercayaan anda meningkatkan estim diri anak-anak anda.

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a'lam.

Che E