10 November 2016

Cara saya atasi gemuruh.

Tiba-tiba perut terasa kecut. Darah gemuruh pantas menyelinap dan terasa sejuk seluruh badan. “Apa aku nak cakap ni?” soal saya pada diri sendiri padahal semua persiapan telah saya buat. Jarang-jarang saya berperasaan sedemikian.

Minggu lepas dalam sebuah bilik persidangan di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, duduk berhadapan dengan saya ialah dua orang ilmuan bertaraf profesor, Prof. Dr. Ahamad Tajudin Khader dan Prof. Madya Dr. Putra Sumari. Sebelah kanan saya, Puan Norlia Mustaffa seorang pensyarah kanan berpengalaman. Di sekeliling saya, kiri dan kanan, ada ramai lagi ilmuan bertaraf serupa seperti tiga individu di atas. Saya dijemput untuk mengendalikan program Klinik Motivasi Peningkatan Kualiti Kerja. 

Satu lagi pengalaman yang hampir serupa sewaktu saya mengendalikan slot motivasi kerja dalam satu seminar yang dihadiri hampir 60 orang pakar dan pegawai perubatan. Kita panggil mereka doktor dan doktor pakar. Ada pakar jantung, pakar kanak-kanak, pakar bius, pakar psikiatri dan macam-macam kepakaran lagi dalam bidang perubatan. Di sini saya kenal Dr. Wan Mohd Razin Wan Hassan, Pakar Perubatan Dalaman yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Perasaan tidak keruan seperti ini pernah juga saya rasa sebelum bergelar perunding motivasi. Waktu temuduga pentauliahan peguam syarie, saya dikelilingi oleh 11 orang tokoh dan pakar dalam bidang agama dan perundangan syariah dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Saya masih ingat antara yang mengajukan persoalan untuk saya jawab ialah Sahibus Samahah Dr. Zulkifli Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan sekarang. Pada waktu itu beliau belum lagi bergelar mufti tetapi cukup terkenal sebagai seorang agamawan.

Kenapa saya kecut perut dalam tiga situasi di atas? Secara psikologinya apabila kita bertembung dengan situasi yang menggugat kebiasaan (conformity) dan wilayah selesa (comfort zone) kita, minda bawah sedar kita akan memberi tindak balas spontan bagi membolehkan diri kita menyesuaikan diri dengan situasi baru tersebut. Gemuruh adalah reaksi semula jadi dalam sistem tubuh badan kita.

Picu gemuruh terpetik kerana kita secara tanpa sedar telah meletakkan diri kita dalam realiti orang lain. Tiba-tiba merasa diri kita berbeza dan kerdil atas faktor realiti kepakaran yang dimiliki oleh khalayak yang kita depani. Justeru bagaimana saya menangani situasi ini?

Pertama saya cepat-cepat putarkan dalam minda “Aku adalah aku. Aku bukan mereka. Mereka bukan aku!” Jadilah diri anda sendiri. Tidak perlu sama sekali menjadi khalayak anda. Percayalah khalayak akan menghormati anda jika anda berjaya menampilkan diri anda yang tulen dan sebenar, bukan berpura-pura.

Tampilkan diri untuk dihormati bukan untuk dikagumi. Diri anda mesti ada kelebihan dan itulah sebabnya anda berdiri di hadapan mereka. Khalayak tidak tahu wibawa (credibility) diri anda sehinggalah anda memulakan bicara. Tegakkan postur badan, pandang mereka dan mulakan dengan yakin tanpa teragak-agak. Jika langkah pertama ini berjaya anda lakukan, darah gemuruh akan berlalu pergi dan pentas itu adalah milik anda.

Kedua, jangan sesekali merendahkan diri sendiri. Jika anda menjadi orang pertama yang merendahkan diri sendiri, maka tiada sebab untuk khalayak menghormati dan mempercayai anda. Tidak perlu perkenalkan kelemahan diri anda, khalayak tidak mahu mendengarnya.

Namun, ia bukan bermakna anda perlu membesar diri. Anda mestilah menjadi orang pertama yang merendah (tanpa ‘kan’) diri. Tunjukkan nilai tinggi yang ada pada diri anda iaitu sentiasa mengiktiraf, menghormati dan menghargai siapapun khalayak anda. Belajar perkara ini, hormatilah orang lain terlebih dahulu sebelum anda berhak dihormati.

Ketiga, berbicaralah dengan bahasa dan nada yang selaras dengan status khalayak anda. Ternyata anda perlu membuat sedikit kerja rumah (homework) untuk memahami siapa khalayak anda. Jangan anggap semua khalayak sama. Pengalaman anda bertahun-tahun bukan alasan untuk anda menggunakan satu gaya bahasa yang sama untuk semua khalayak anda.

Jangan sampai khalayak anda terasa dihina, dipermain atau dipandang rendah. Contohnya, dalam berbicara, lelucon (humour) baik untuk menyegarkan emosi khalayak tetapi perlu diselit dengan cermat, berhemah dan bermakna. Ramai penceramah cenderung untuk berlebihan dan kadang-kadang berbohong semata-mata untuk memastikan lawaknya menjadi. Itu persis slapstick, elakkan.

Keempat, jangan jadi ‘makhluk asing’ hanya kerana anda berbeza bidang dengan khalayak anda. Khalayak akan ‘menolak’ anda jika anda gagal mencapai frekuensi yang sama dengan mereka. Frekuensi yang betul membolehkan anda menembusi minda bawah sedar mereka lantas menerima anda.

Sebut, ulas dan kongsikan beberapa perkara yang lazim bagi khalayak anda. Perkara yang memang mereka lakukan. Perkara lazim tersimpan dalam minda bawah sedar. Sekali lagi anda perlu membuat kerja rumah (homework). Tidak perlu tunjukkan yang anda tahu segalanya, cukup sekadarnya. Melakukan perkara ini akan menghantar mesej kepada khalayak anda bahawa anda prihatin, ambil tahu dan belajar tentang mereka.

Kelima, jangkakan perbezaan pendapat. Jika bicara anda membugar budaya berfikir maka capahan pandangan dan idea pasti berlaku. Khalayak memberi respon dan bukan mendengar semata-mata. Dalam hal ini, saya terkesan dengan teknik ‘Be Agreeable’ yang dikongsi oleh motivator Brian Tracy dalam bukunya The Power of Self Discipline; No Excuses. 

Elakkan perdebatan dan buatlah supaya orang lain seronok berbicara dengan anda walaupun apa yang dia kata mungkin langsung tidak masuk akal atau bertentangan dengan pandangan anda. Sewaktu mereka menyuarakan pandangan, anda dengar sebaiknya, senyum seikhlasnya, angguk tanda cuba memahami dan tanya soalan jika perlu. Untuk menang dalam perdebatan, elakkanlah perdebatan.

Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Itu pesan Nabi SAW buat kita semua yang bertugas sebagai ‘penyampai mesej’. Samada anda penceramah, guru, pensyarah, khatib, ustaz, ketua jabatan, penyampai radio, politikus mahupun DJ kenduri kahwin, sampaikanlah yang benar sahaja dengan cara yang benar. Baginda Nabi SAW, dilatih Tuhan 40 tahun sebelum dilantik menjadi Penyampai risalahNya yang benar.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Terima kasih kerana membaca. Wallahu a’lam.

Che E