21 December 2016

Buku penyambung hayat.



Assalamu 'alaikum wrt. wbh. & salam ceria untuk semua.

Terima kasih banyak kepada saudara Ammar dan Gaie, wartawan dan fotografer Kosmo! atas paparan mukasurat 26 Kosmo! hari ini. Kupasan tentang buku Nasi Lemak Kacang Lebih (NLKL). Boleh baca di sini.

Sebagai penulis jujur saya katakan dengan paparan tersebut saya berharap lebih ramai orang di luar sana akan tahu tentang buku ini. Bukan sekadar tahu tetapi membacanya. Samada beli sendiri atau pinjam, itu bukanlah isunya. Yang penting cedok isi dalamnya.

Hari ini kebetulan saya dijemput berkongsi inspirasi dengan warga kerja Majlis Perbandaran Port Dickson dan alhamdulillah buku NLKL yang saya bawa habis terjual macam pisang goreng panas. Itulah impak surat khabar. Semoga NLKL boleh menjadi cermin pandang sisi dalam tuan-puan memandu hidup seharian mendepani segala macam cabaran dan dugaan.

Seorang teman saya yang juga seorang penulis buku pernah berpesan katanya buku adalah teman paling setia. Setia kepada siapa jua yang memilikinya.

Hujung minggu lepas saya sempat menghadiri Simposium Hamka di GMI Bangi. Terasa malu, rendah diri dan saya akui terlalu terjarak bezanya. Pak Hamka menulis lebih kurang 120 naskhah buku pelbagai judul sepanjang hayatnya. Sehingga hari ini walaupun beliau telah lama meninggal dunia, karyanya masih dicetak. Itu tandanya tulisan, inspirasi dan buah fikirnya masih dibaca dan akan terus dibaca dan dipedomani.

Bagi seorang penulis tulen, buku adalah penyambung hayat. Bukan duit hasil jualan buku tetapi ilmu yang ikhlas disampaikan. Jasad mungkin hanya berusia 60 atau 70 tahun tetapi minda mungkin terus hidup untuk ratusan atau ribuan tahun. Pesan Nabi SAW "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat."

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a'lam.

Che E
21 Disember 2016

Boleh juga beli naskhah NLKL di sini. Sila klik di sini.