17 January 2017

Khidmat Kaunselor Bertauliah

Kosmo! Online - Rencana Utama

Tidak ramai memilih perkhidmatan kaunselor bertauliah kerana beranggapan mereka hanya diberi nasihat.

SEPERTI pasangan muda yang lain, Razman, 20-an dan isterinya turut mengecapi detik-detik indah pada awal perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, sejak kehadiran kedua-dua cahaya mata mereka, Razman dapat merasakan isterinya telah banyak berubah. Mereka sering bertengkar biarpun melibatkan masalah kecil dan remeh.
“Disebabkan itu, saya banyak menghabiskan masa di pejabat kerana setiap kali pulang ke rumah lazimnya akan berakhir dengan pertengkaran,” katanya yang menetap di Teluk Intan, Perak.
Namun, Razman tidak berputus asa, dia tetap berusaha mencari penyelesaian sehinggalah dia terbaca satu portal perkhidmatan kaunselor bertauliah yang ditawarkan di Pusat Kaunseling AsasInsan Resources & Training di Kajang, Selangor.
Menerusi pertemuan itu barulah segala kekusutan yang bersarang di dalam kepalanya terlerai.
Katanya, menerusi ujian personaliti yang dijalankan barulah dia mengetahui personaliti sebenar mereka berdua.
“Rupa-rupanya isteri saya bersikap demikian kerana dia merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarga, jadi tidak hairanlah perwatakannya agak tegas, berdikari dan keras kepala.
“Selain itu, isteri juga bekerja dan adakalanya terbeban dengan tugasan di pejabat sehingga terbawa-bawa ke rumah.
“Selepas mengetahui personaliti isteri, saya lebih rasional dalam bertindak dan berfikir malah jika berlaku konflik kami selesa meluahkannya dan menyelesaikannya berbanding memendam rasa seperti sebelum ini,” katanya.
Kisah Razman mungkin antara secebis daripada ribuan kisah masalah rumah tangga yang sering berlaku dalam masyarakat di negara ini.
Ada pasangan yang selesa berbincang masalah mereka dari hati ke hati, tidak kurang juga yang cenderung untuk berkongsi dengan ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat.
Bagaimanapun, tidak ramai memilih perkhidmatan kaunselor bertauliah kerana beranggapan mereka hanya akan diberikan nasihat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Kaunselor dan Perunding Psikologi di Pusat Kaunseling AsasInsan Resourses & Training, Nurhazreen Mohd. Nor, berkata, secara umumnya masyarakat di negara ini belum terbuka untuk berkongsi masalah yang dihadapi kepada kaunselor.
Malah katanya, perkataan kaunselor itu sahaja sudah menimbulkan persepsi negatif seolah-olah mereka yang dipanggil untuk sesi kaunseling sering dilabel sebagai bermasalah atau kurang berdisiplin.
“Sebenarnya sesiapa sahaja, pada bila-bila masa boleh mendapatkan khidmat kaunselor, tidak semestinya ketika berdepan masalah.
“Misalnya, jika seseorang itu mempunyai kesukaran berkomunikasi dengan rakan-rakan sepejabat, dia boleh jumpa kaunselor untuk lebih mengenali diri atau personalitinya.
“Kaunselor akan beri ujian personaliti dan analisis jawapan yang diberikan sebelum berbincang dengan pelanggan bagi mengatasi sikap tersebut. Ia bukan satu masalah sebaliknya usaha untuk mengubah atau memperbaiki diri sendiri,” katanya yang lebih sedekad bergelar kaunselor.
Leraikan simpulan
Tambah Nurhazreen, selain persepsi berkenaan, masyarakat juga sering menganggap tugas kaunselor ialah memberi nasihat dan menyelesaikan masalah mereka.
Sebaliknya, katanya, kaunselor hanya bertanggungjawab mendengar, selain membantu dan membimbing individu berkenaan mencari punca kepada masalah yang berlaku.
“Pelanggan yang datang berjumpa kaunselor ini boleh diibaratkan seperti tali yang bersimpul, jadi tugas kaunselor ialah meleraikan simpulan tersebut.
“Apabila klien mula bercerita sesuatu masalah mereka akan lebih berasa lega dan secara tidak langsung dapat berfikir dengan lebih jelas dan rasional untuk mencari jalan penyelesaian.
“Banyak kes yang saya kendalikan, penyelesaiannya datang daripada klien sendiri, kaunselor hanya membantu membuka jalan dan memberi pencerahan menerusi teori dan instrumen yang sesuai,” ujarnya yang memiliki Sarjana Kaunseling dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Menurutnya, kaunselor dilatih untuk mendengar masalah yang diceritakan klien sehingga sesuatu sesi kaunseling itu tamat.
“Kaunselor juga terikat dengan etika kerahsiaan sekali gus dapat menjaga aib klien daripada diketahui pihak ketiga biarpun ia melibatkan pasangan suami isteri kecuali kes-kes bawah umur atau yang cenderung ke arah perlakuan jenayah,” katanya.
Mendengar
Nurhazreen yang merupakan Kaunselor Berdaftar Perakuan Amalan di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia berkata, biarpun sekadar mendengar, kaunselor mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat untuk memastikan sesi kaunseling berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
“Masalah setiap klien berbeza, ada yang melibatkan masalah peribadi, pembelajaran, kekeluargaan, tempat kerja dan trauma.
“Semasa sesi berlangsung, kaunselor tidak boleh membuat catatan atau nota kecuali mendengar kerana perlu memberi tumpuan penuh kepada klien di samping membaca emosi atau gerak tubuh mereka.
“Disebabkan itu, setiap sesi kaunseling mengambil masa agak panjang kerana kaunselor perlu mengenal peribadi dan personaliti klien bagi membina hubungan dan kepercayaan dan merangka objektif yang dikehendaki mereka,” jelasnya.
Wanita yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu, terdapat juga salah faham dalam kalangan masyarakat yang menganggap tugas kaunselor sama seperti tugas pakar motivasi.
“Hakikatnya, kedua-dua bidang adalah jauh berbeza, Motivasi hanyalah satu cabang dalam psikologi dan seorang motivator hanya boleh bercerita mengenai sesuatu isu atau teori secara umum di hadapan orang ramai bertujuan memberi nasihat atau merangsang minda mereka untuk berubah.
“Kaunselor pula lebih kepada mendengar masalah klien secara bersemuka dan membuka ruang kepada mereka untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian menggunakan teori dan instrumen tertentu, namun pada masa sama boleh bertindak sebagai motivator,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (PEKA), Dr. Siti Taniza Toha berkata, kaunselor juga memainkan peranan penting ketika berdepan dalam situasi cemas seperti tragedi, bencana alam dan peperangan.
Psikologi
Beliau yang merupakan kakitangan di Kementerian Pendidikan pernah menyelaras sesi kaunseling ketika kejadian tsunami di Kuala Muda, Kedah dan Langkawi pada 2004 serta banjir di Johor (2007) dan Pantai Timur (2014).
“Ketika itu, kami memberi bantuan psikologi dan sebagai kumpulan sokongan kepada mereka untuk memulihkan trauma yang dihadapi selepas bencana berkenaan.
“Biarpun ketiga-tiga kejadian itu tidak melibatkan jumlah kecederaan atau korban yang ramai, namun proses pemulihan itu penting untuk memastikan emosi mereka tidak terjejas serta mampu bertugas seperti biasa,” katanya.
Selain itu, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa misi sukarelawan bersama PEKA dan pertubuhan bukan kerajaan di Indonesia dan Filipina.
“Lazimnya, selepas bencana mangsa berdepan dengan pelbagai tekanan seperti kehilangan insan tersayang dan kemusnahan harta benda yang boleh menimbulkan trauma dalam diri mereka.
“Jika keadaan itu tidak diatasi segera ia boleh menyebabkan mangsa murung dan menyendiri, sering menangis, meracau-racau yang dikhuatiri memberi kesan terhadap mental dalam jangka panjang.
“Selain petugas kecemasan, kaunselor merupakan antara barisan hadapan yang perlu digerakkan ke lokasi bencana bagi memberi bantuan dalam bentuk pemulihan emosi supaya mangsa mampu menjalani kehidupan seperti sebelum ini,” katanya.
Dipetik daripada KOSMO Online 17 Januari 2017
Hakcipta terpelihara