04 May 2016

Buang sampah dengan separuh otak?

Jika anda diminta berlari sambil memikul tong gas memasak sejauh dua kilometer, otak kiri (minda logik) anda akan berkata bahawa ia satu tindakan yang sukar, memenatkan dan pasti anda ‘berat’ untuk melakukannya.

Tetapi jika anak kecil anda yang berusia tujuh tahun cedera parah dalam kemalangan, anda pasti sanggup berlari sejauh dua kilometer sambil menggendongnya untuk sampai ke hospital terdekat walaupun beratnya lebih kurang berat tong gas memasak. Kenapa?

Itulah ‘kuasa’ yang dibiaskan oleh potensi otak kanan. Ia boleh lakukan apa yang otak kiri tidak boleh atau ‘berat’ untuk lakukan. Otak kanan akan berfungsi penuh apabila ia memahami ‘makna dan tujuan’ yang jelas.

Mencari penyelesaian yang logik semata-mata bermakna anda masih belum menggunakan potensi otak sepenuhnya. Beranikan diri untuk keluar daripada kebiasaan. Begitu juga dalam cara anda berfikir.

Bagaimana syarikat hebat seperti Airasia boleh terbang megah menyaingi syarikat yang jauh lebih ‘tua’ dan berpengalaman. Penerajunya berani menggunakan potensi otak kanan dalam membangunkan syarikat warna merah tersebut.

Logikkah dengan mengenakan tambang yang sangat murah, sebuah syarikat penerbangan boleh beroperasi dan maju? Memang tidak logik! Itulah cara fikir otak kiri. Tapi otak kanan kata, boleh dan tidak mustahil! Dan lihatlah kuasanya.


Ramai orang merungut tentang masalah kerja, masalah keluarga, masalah peribadi dan macam-macam lagi masalah. Masalah adalah pencetus kepada pemikiran. Lebih banyak masalah sepatutnya menjadikan anda lebih ligat, mahir dan pakar dalam berfikir. Tetapi sayang, hakikatnya bukan begitu.

Kreativiti tidak diajar secara serius di sekolah. Mungkin itulah sebabnya rakyat kita sedikit kekok untuk berfikir secara kreatif. Baru sekaranglah kerajaan cuba memulakan sesuatu dengan memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem pendidikan. Itupun ternyata perjalanan kita masih terlalu jauh. Tetapi bak kata orang putih, better late than never.

Kreativiti bukan hanya tentang seni. Ia juga bukan sesuatu yang pelik atau luar biasa. Ia adalah fitrah. Namun, ia perlu dilatih untuk berkembang.

Ambil contoh mudah, sampah! Kenapa orang kita mudah sangat membuang sampah di merata tempat semasa berada di luar rumah. Plastik pembungkus kotak rokok, kotak rokok, puntung rokok, cawan kertas, plastik makanan dan macam-macam lagi.

Puncanya ialah ramai kita berfikir secara linear (lurus) dan logik. Tiada tong sampah, jadi di mana harus saya buang sampah? Bagi kita, sampah adalah kotor dan mesti segera dibuang. Akibatnya apabila tiada tong sampah, campak sahajalah di mana yang sesuai.


Sedikit sahaja ‘adjustment’ yang perlu dibuat di sini agar otak kanan boleh mula berfungsi. Cuba bayangkan, selagi sampah di tangan anda itu bukan TAHI, ia BERSIH dan tidak perlu SEGERA dibuang. TUNGGU sehingga anda jumpa tong sampah, kemudian buang.

Beg plastik, poket sisi pintu kereta, poket seluar, poket baju, poket handbag, poket beg galas, poket dompet dan apa saja yang ‘berpoket’ asalkan sesuai dan muat, jadikan ‘tong sampah’ singgahan. Takut kotor? Bukankah saya sudah katakan tadi, ia bukan tahi. Hatta jika tahi sekalipun ia tetap boleh dibersihkan.

Apabila anda memahami makna dan tujuan yang jelas mengapa anda tidak sepatutnya membuang sampah sesuka hati, maka otak kanan anda pasti bijak dalam ‘mengurus’ sampah yang anda sendiri hasilkan.

Maka, mereka yang suka membuang sampah di merata tempat seperti mencampak sampah keluar dari tingkap kereta bolehlah dikatakan mereka hanya mampu menggunakan separuh sahaja otak yang dikurniakan oleh Tuhan. Kasihan…