01 November 2016

Berniaga sejak tadika?

Seorang bapa muda bertanya semasa sesi soal jawab dalam Forum Kekeluargaan sempena Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) di Kuala Selangor pada 23 Oktober lepas, soalnya “berapakah usia paling awal untuk melatih anak berniaga?”.

Tiada jawapan spesifik untuk soalan ini. Jika anak anda mahu berniaga sedangkan dia masih di tadika, apa salahnya. Saya secara peribadi melibatkan anak-anak saya dalam aktiviti perniagaan saya sejak mereka bayi lagi. Tidur, mandi, bermain, melukis, solat, buat kerja sekolah, ulangkaji dan macam-macam lagi di tempat saya berniaga.


Tetapi sebelum itu perlu diingat perniagaan dan duit tidak boleh dipisahkan. Oleh sebab itu penting untuk terlebih dahulu membentuk perspektif yang betul tentang duit dalam minda anak anda sebelum melatihnya ‘berniaga’. Pendekatan ini juga baik bagi ibubapa yang bekerja makan gaji.

Apa anak anda fikir tentang duit? Aiskrim, mainan, ‘jajan’, kantin, tabung, hari raya, habiskan, sedekah, simpan atau cari?

Anak kecil tidak mengerti tentang nilai duit dengan sendirinya. Ibubapalah yang membentuk pandangan anak terhadap duit. Simpan atau belajakan.

Bermula dari kecil didiklah anak anda untuk melihat duit sebagai perkara yang bernilai, perlu usaha untuk mendapatnya dan mesti disimpan untuk dapat lebih banyak. “Money is not taught in schools.” Tulis Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad.

Perkenalkan tabung kepadanya seawal mungkin. Balik dari pejabat, semua duit syiling dalam poket anda serah padanya dan asuh dia untuk masukkan semua ke dalam tabung. Lakukan setiap hari seawal usianya satu tahun.

Begitu juga di masjid. Jika anda hanya masukkan duit syiling ke dalam tabung masjid, maka anak-anak akan ‘memahami’ bahawa nilai duit dalam bersedekah biarlah yang sedikit. Justeru berhati-hati dengan tindakan anda agar anda tidak tersilap dalam mendidik anak.

Mengizinkan anak membeli benda-benda remeh seperti makanan ringan, permainan dan ‘tikam-tikam’ sebenarnya anda menanam dalam sistem fikirnya bahawa duit tidak bernilai. Apatah lagi jika ia sedikit, seringgit atau duit syiling.

Memburukkan lagi keadaan apabila anak-anak melihat ibubapa sendiri sewenang-wenangnya berbelanja untuk perkara-perkara yang kurang berfaedah. Tak perlulah saya senaraikan perkara-perkara tak berfaedah tersebut di sini. Faham-fahamlah sendiri.

Natijahnya, anak-anak sukar menghargai duit dan akan berbelanja acapkali memiliki duit biarpun sedikit. Mereka sukar menyimpan. Tabiat menyimpan hanya mudah diasuh jika seseorang menghargai nilai duit.

Ada graduan yang baru mula bekerja kelabu mata melihat duit gaji yang banyak. Wah! banyaknya duit aku. Mereka bandingkan duit belanja saraan ibubapa semasa di kolej dengan duit gaji yang diterima, memanglah banyak bezanya. Mereka berbelanja semahu-mahunya. Maka tidak hairanlah mengapa PTPTN berhadapan kesukaran untuk mengutip hutang mereka.

Jika anda seorang peniaga, adalah penting untuk ‘melibatkan’ anak anda sejak dia kecil dalam perniagaan anda. Melibatkan di sini bermaksud membiarkan anak anda melihat betapa mendapatkan duit memerlukan usaha dan kesungguhan. Bukan hanya dengan tekan-tekan nombor di mesin ATM atau meleretkan kad-kad kredit.

Kelebihan ibubapa yang berniaga berbanding mereka yang makan gaji ialah anak-anak boleh nampak dengan jelas ‘usaha dan kesungguhan’ atau susah payah mereka dalam mendapatkan duit. Lantas lebih mudah untuk asuh mereka menghargai nilai duit.

Lihat sahaja anak-anak peniaga pasar malam yang duduk sama di gerai ibubapa mereka. Adakah pandangan mereka tentang ‘usaha mencari duit’ sama dengan anak-anak yang tidak pernah langsung nampak bagaimana keadaan ibubapanya berkerja di pejabat. Yang dilihat lebih mudah difahami berbanding yang hanya didengar.

Namun begitu, dengan melihat anda berniaga sahaja tidak menjadikan anak-anak anda menghargai nilai duit dengan sendirinya. Anda tetap perlu mengasuhnya.

Budaya dan gaya hidup hari ini lebih banyak mengajar anak-anak kita untuk berbelanja berbanding mendapatkan dan menyimpan duit. Lihat sahaja di sekolah. Ada kantin, kedai koperasi dan penjaja luar pagar. Kadang-kadang ada juga guru yang berniaga. Seringgit sudah tiada nilai.

Tidak salah untuk berbelanja. Tetapi asuh anak anda untuk berbelanja kepada perkara-perkara yang signifikan, bernilai dan perlu. Ajar mereka tentang beza keperluan dan kehendak.

Si A: ada RM1, belanja untuk keperluan = baki RM0.20 (boleh, mudah, cepat kaya)
Si B: ada RM1, belanja untuk kehendak = habis (tidak, lambat atau susah kaya)

Tidak salah berbelanja untuk anak-anak untuk nafkah dan sebagai tanda kasih sayang. Cuma perlu diingat tabiat berbelanja anda boleh menghantar mesej salah kepada anak-anak tentang duit. Duit dan anak anda adalah pilihan anda, saya sekadar berpandangan.

Terima kasih kerana membaca. Wallahu a’lam.

Che E